abcd

Yoppa

nuffnang

Kalimah Ketiga: Iman & ketenangan

[Ibadat itu ketenangan dan kefasikan adalah celaka]




 يَاۤ اَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا


Jika anda ingin memahami bagaimana ibadat adalah sebuah perniagaan yang besar dan kebahagiaan yang agung, sebagaimana kefasikan dan kemaksiatan adalah kerugian yang besar dan kemusnahan yang pasti, maka lihat dan dengarlah hikayat ini:

Pada suatu hari, dua orang tentera menerima satu arahan untuk pergi ke sebuah bandar yang jauh. Lalu kedua-duanya pun bermusafir bersama-sama hingga akhirnya mereka tiba di sebuah persimpangan jalan. Di persimpangan jalan tersebut, mereka terjumpa seorang lelaki yang berkata kepada mereka:

Jalan di sebelah kanan ini, disamping tidak terdapat kesulitan, orang yang melaluinya juga akan memperoleh kerehatan, ketenangan dan keuntungan dengan kadar sembilan persepuluh. Manakala jalan di sebelah kiri pula, di samping ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada orang yang melaluinya, ia juga akan memudaratkan mereka dengan kadar sembilan persepuluh juga. Perlu dinyatakan, jarak kedua-dua jalan adalah sama. Perbezaannya hanya terdapat pada satu perkara sahaja, iaitu orang yang melalui jalan di sebelah kiri tidak perlu mematuhi sebarang undang-undang kerajaan. Dia juga boleh melaluinya tanpa perlu membawa sebarang peralatan dan senjata. Oleh itu, dia boleh melaluinya dengan mudah dan memperoleh kerehatan yang disangkakan pada pandangan zahirnya. Manakala orang yang melalui jalan di sebelah kanan pula yang mengikut peraturan ketenteraan, terpaksa memikul sebuah beg yang besar lengkap dengan bekalan makanan seberat lima kilogram dan sepucuk senjata kerajaan seberat hampir sepuluh kilogram yang dengannya dia boleh mengalahkan setiap musuh yang mendatang.
Setelah mendengar penerangan yang diberikan penunjuk jalan itu, tentera yang bernasib baik dan bahagia mengambil jalan sebelah kanan. Dia terus berjalan sambil memikul bebanan seberat hampir sepuluh kilogram di atas belakang dan bahunya, namun hati dan jiwanya terselamat daripada ribuan paun bebanan ungkitan dan kebimbangan.
Manakala tentera yang keras hati dan tidak bernasib baik yang mengutamakan untuk tidak terikat dengan peraturan ketenteraan, serta tidak mahu menurut peraturan dan memberikan komitmen, mengambil jalan sebelah kiri. Meskipun badannya terselamat daripada bebanan, tetapi hatinya kepenatan kerana menanggung ribuan kilogram kekesaalan dan kata-kata yang menyakitkan hati. Rohnya pula terbenam di bawah kebimbangan yang tidak berpenghujung. Oleh itu, dia berjalan dalam keadaan meminta-minta daripada setiap orang yang ditemuinya. Dia berada dalam keadaan takut dan gentar terhadap segala sesuatu, bimbang terhadap segala kejadian. Setelah tiba ke tempat yang dituju, dia pula dihukum dan menerima balasan hasil daripada ketidakpatuhannya dan keengganannya daripada mengikut peraturan yang ditetapkan.
Manakala tentera yang melalui jalan sebelah kanan, iaitu tentera yang patuh kepada peraturan ketenteraan dan sentiasa menjaga beg dan senjatanya, dia dapat berjalan dalam keadaan hatinya dipenuhi kerehatan dan perasaannya dipenuhi ketenangan, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan untuk meminta-minta daripada sesiapa, atau merasa tamak terhadap apa yang ada pada orang lain, atau takutkan kepada sesiapa.. Apabila dia tiba ke bandar yang dituju, dia menerima ganjaran selayaknya sebagaimana anggota tentera lain yang berjaya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

Wahai jiwa yang cuai dan lalai!


Ketahuilah bahawa dua orang yang bermusafir itu, salah seorang daripada mereka menggambarkan golongan yang tunduk dan patuh kepada undang-undang Ilahi, manakala yang seorang lagi menggambarkan golongan menderhaka yang menuruti hawa nafsu.

Manakala jalan tersebut adalah jalan kehidupan yang datang daripada alam roh, kemudian melalui kubur, seterusnya menuju ke alam akhirat.

Manakala beg dan senjata yang dibawa adalah ibadat dan taqwa. Meskipun ibadat kelihatan membebankan pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya ia adalah kerehatan dan keringanan yang amat besar sehingga tidak dapat digambarkan. Ini kerana seseorang yang melakukan ibadat fardhu, orang yang beriman yang sembahyang mengatakan:

 اَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله
Yang dimaksudkan disini adalah ia telah menjumpai satu pintu yang membawanya kepada khazanah rahmat Ilahi dalam segalanya kerana ia beriman (mempercayai) dan berkata: Tiada pencipta dan pemberi rezeki melainkan Dia; segala manfaat dan kemudaratan hanya datang daripadaNya; Dia adalah Tuhan yang Maha Bijaksana, tidak melakukan sesuatu secara sia-sia; dan Dialah Tuhan yang Maha Mengasihani, ganjaranNya dan ihsanNya adalah meluas.” 

Seseorang mukmin percaya dan yakin dengan apa yang diucapkannya. Lalu dia mengetuk pintu tersebut dengan doa. Dia melihat segala sesuatu boleh dipergunakan bagi memenuhi arahan Tuhannya, lalu dia berlindung kepada Tuhannya dengan bertadharru’ kepadaNya semata-mata. Dia bertahan dan berbenteng daripada setiap musibah yang menimpa bersandarkan kepada tawakkal. Lalu keimanan yang dimilikinya mengurniakan keamanan dan ketenangan yang sempurna kepadanya.

Ya! Sesungguhnya sumber keberanian sama seperti sumber segala sifat baik yang lain, iaitu iman dan ‘ubudiyyah (perhambaan). Manakala sumber ketakutan sama seperti segala sifat buruk yang lain adalah kesesatan dan kebodohan.

Jika planet bumi ini pecah dan meletup sekalipun, mungkin ia tidak menakutkan seorang hamba Allah yang mempunyai hati yang bercahaya. Bahkan mungkin dia melihat kepada kejadian tersebut sebagai salah satu perkara ajaib yang dilakukan oleh kudrat Ilahi, lalu dia melihatnya dengan penuh kekaguman dan kenikmatan. Sedangkan seorang fasik yang mempunyai hati yang mati – meskipun dia adalah seorang ahli falsafah yang dianggap mempunyai akal yang tajam – jika melihat sebuah komet di angkasa, dia akan diselubungi perasaan takut, gementar dan tertanya-tanya dalam keadaan penuh kebimbangan: Adakah komet ini akan berlanggar dengan bumi? lalu dia terjerumus ke lembah kemurungan. Pada suatu masa, rakyat Amerika pernah mengalami perasaan takut kerana sebuah komet kelihatan di langit, lalu ramai di kalangan mereka meninggalkan rumah masing-masing di tengah kegelapan malam.

Ya! Sekalipun keperluan manusia tidak terbatas, tetapi modalnya boleh dikatakan tiada langsung. Sekalipun dia terdedah kepada musibah yang tidak terbatas, kemampuannya untuk menghadapinya juga boleh dikatakan tiada langsung. Ini kerana modal dan kemampuannya hanya terbatas setakat kawasan yang boleh dicapai oleh tangannya sahaja, sedangkan angan-angan, keinginan, kesakitan dan bala bencana yang dihadapinya adalah seluas pandangan mata dan khayalan.

Alangkah perlunya roh manusia yang lemah, daif dan miskin ini kepada hakikat ibadat, tawakkal, tauhid dan penyerahan diri yang sebenar! Alangkah besarnya keuntungan, kebahagiaan dan kenikmatan yang diperolehi daripadanya! Sesiapa yang umumnya tidak buta pasti dapat melihat dan memahaminya. Ini kerana memang dimaklumi, jalan yang tidak memudaratkan pasti akan lebih diutamakan daripada jalan yang memudaratkan, meskipun hanya terdapat satu persepuluh kemungkinan untuk mendapat manfaat daripada jalan tersebut. Perlu diketahui dalam perbincangan kita ini, jalan ibadat, di samping ia tidak mengundang sebarang kemudaratan dan kemungkinan manfaat yang diperolehi adalah sembilan persepuluh, ia juga mengurniakan khazanah kebahagiaan abadi kepada kita. Manakala jalan kefasikan dan kemaksiatan, sebagaimana diakui oleh orang fasik sendiri, di samping ia adalah jalan yang tidak mengandungi sebarang manfaat, ia juga menjadi sebab kecelakaan dan kemusnahan abadi. Keyakinan terhadap kerugian dan ketiadaan kebaikan pada jalan tersebut mencapai kadar sembilan persepuluh juga. Perkara ini dibuktikan melalui penyaksian mereka yang telah mengalaminya secara mutawatir dan ijmak. Ia juga adalah keyakinan pasti sebagaimana dinyatakan oleh golongan yang mempunyai zauq dan kasyaf.

Kesimpulan yang diperolehi daripada perbincangan kita ini ialah:

Memperoleh kebahagiaan dunia sama seperti memperoleh kebahagiaan akhirat, ia terletak dalam ibadat dan ketaatan yang penuh disiplin dan ikhlas kepada Allah semata-mata. Oleh itu, marilah sama-sama mengungkan berulang kali:
 الحمد لله الطاعة والتوفيق

Kita juga wajib untuk bersyukur kepadaNya kerana menjadikan kita di kalangan orang Islam.